Panduan Memperbaharui Insurans Kereta


SETIAP tahun, kita bukan sahaja akan menyambut hari lahir kita, hari lahir orang sekeliling kita, malah hari lahir kereta juga mesti disambut. Itulah hari kita memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta kita. Aku juga tidak terlepas untuk menyambut hari lahir kereta aku yang baru hendak mencecah usia setahun ni. 19 Julai setiap tahun, itulah tarikh hari lahir Persona aku.

Memandangkan buat pertama kalinya aku hendak memperbaharui insurans kereta sendiri, maka sedikit sebanyak membuat aku terkapai-kapai bagaimana hendak memperbaharui insurans kereta aku. Sebenarnya, anda boleh menyerahkan kepada ejen insurans untuk urusan memperbaharui insurans, tetapi sebagai pengguna yang bijak, anda perlu tahu serba sedikit tips bagaimana untuk memperbaharui insurans kereta anda.



Perkara pertama adalah berapa jumlah perlindungan (sum insured) untuk kereta anda. Ini adalah perkara paling asas dalam menentukan jumlah insurans anda. Pada dasarnya, jumlah perlindungan ini adalah sama harga pasaran (market value) kereta anda. Jumlah perlindungan inilah yang akan menentukan berapa perlindungan yang akan dilindungi insurans jika ada apa-apa terjadi kepada kereta anda seperti kemalangan dan kecurian.

Jadi, bagaimana menentukan jumlah perlindungan ini? Biasanya ejen akan ada nilai semasa untuk jumlah perlindungan ini. Tetapi, jangan serahkan sepenuhnya nilai ini ditentukan oleh ejen insurans. Ada pelbagai cara dalam menentukan jumlah perlindungan ini:

1. Anda boleh menghubungi pihak bank bagi mengetahui nilai semasa harga kereta anda. Biasanya pihak bank akan mengemaskini nilai kereta dalam masa 3 bulan sekali.

2. Cara kedua adalah mendapat maklumat mengenai harga kereta anda daripada kedai kereta terpakai. Mereka mempunyai perkiraan mereka sendiri dalam menentukan harga kereta anda.

3. Anda juga boleh mencari maklumat di majalah kereta, akhbar-akhbar dan internet bagi harga semasa kereta anda. Ambil purata bagi semua harga kereta anda dan itulah anggaran harga kereta anda. Cara yang paling senang yang aku gunakan adalah melalui Mudah.my. Anda juga boleh melayari SNK Autoclaims bagi mengetahui harga semasa kereta anda.

Untuk jumlah perlindungan aku kali ini, aku telah menggunakan cara pertama dan ketiga serta maklumat ejen insurans aku. Dan bagi cara pertama iaitu melalui bank, jumlah perlindungan adalah RM 53,000 dan bagi cara ketiga dan melalui ejen insurans aku, jumlah perlindungan adalah lebih kurang sama iaitu RM 50,000.

Harus diingat di sini, jangan meletakkan jumlah perlindungan terlalu tinggi dari harga pasaran kereta kerana jika berlaku kemalangan atau kecurian kepada kereta anda, bukan semua jumlah perlindungan yang anda tetapkan akan dilindungi oleh pihak insurans, sebaliknya mengikut harga pasaran semasa kereta ketika kemalangan atau kecurian kereta anda dilaporkan mengikut garis panduan industri yang digunapakai oleh pihak insurans.

Tetapi, jangan pula meletakkan jumlah perlindungan terlalu rendah daripada harga pasaran kereta kerana apabila anda membuat tuntutan perlindungan, anda akan diminta menambah wang tunai bagi kos membaik pulih atau mengganti kereta anda bagi kes kecurian.

Perkara seterusnya adalah 'Non-claim Discount' (NCD) ataupun 'Non-claim Bonus' (NCB) bagi insurans kereta anda. Kedua-dua istilah di atas selalu digunapakai apabila anda ingin memperbaharui. NCD atau NCB adalah potongan yang diberikan oleh pihak insurans jika anda tidak membuat sebarang tuntutan sehingga ke tarikh anda memperbahrui kereta anda. Potongan ini bermula daripada 25% pada tahun kedua anda memperbaharui insurans kereta, seterusnya 30%, 38.33%, 45% dan 55% sehingga ke tahun seterusnya. Jika anda ada membuat sebarang tuntutan kepada pihak insurans, NCD atau NCB ini akan di ulang balik menjadi 0%.

Bagaimana pula mengira jumlah insurans yang dikenakan setelah menetapkan jumlah perlindungan dan NCD atau NCB? Di bawah adalah sedikit panduan bagi anda mengira sendiri jumlah insurans anda pada tahun berkenaan.

Pertamanya, anda perlu tahu kategori 'Cubic Capacity' (CC) kereta anda:

  • 0-1400 CC = RM 225.20
  • 1401-1650 = RM 251.50
  • 1651-2200 = RM 271.90
  • 2201-3050 = RM 304.20
  • 3051-4100 = RM 330.50
  • 4101-4250 = RM 356.80
  • 4251-4400 = RM 383.20
  • > 4400 = RM 409.50
Sebagai contoh di sini, aku mengambil kereta aku Persona dengan CC 1600 dan 'sum insured' aku RM 50,000.Road Tax aku RM 90.00 manakala NCB aku pada tahun kedua adalah 25% (Tahun pertama dikira insurans semasa anda membeli kereta). Maka bagi kategori di atas, bagi seribu pertama dari 'sum insured' aku, RM 251.50 dikenakan bagi insurans aku. Baki selepas seribu pertama aku adalah RM 49,000, maka;

(RM 49,000 x 26) / 1000 = RM 1274

RM 1274 + RM RM 251.50 = RM 1525.50

25% x RM 1525.50 = RM 381.38

RM 1525.50 - RM 381.25 = RM 1144.25

Maka, jumlah insurans bagi kereta aku adalah RM 1144.25 + Road Tax (RM 90.00) + Stamp Duty (RM 10) = RM 1244.25

Kebiasaannya, apabila memperbaharui insurans dengan ejen insurans, maka caj tambahan RM 20 akan dikenakan bagi kos untuk 'runner'. Untuk lebih mudah lagi, anda boleh mengetahui jumlah insurans anda di lawan web Autoworld. Itu sahaja sedikit sebanyak tips yang aku boleh kongsi bersama. Semoga dapat dijadikan panduan ketika anda memperbaharui insurans kereta anda. Sekian.




5 Response to Panduan Memperbaharui Insurans Kereta

  1. Anonymous says:

    salam..sy ada pertanyaan..tentang insurance ni mcmner erk kite nak pilih sesuatu insurance tu untuk kereta kite?..perlukan insurance y same ker setiap thun ataupon kalau kite tukar ada keburukkanyer?..

  2. mummy says:

    salam..thanks for ur info.sy mmg tgh cari info cz bulan 7 ni nak kene bayar road tax kereta buat tahun ke dua... :)

  3. msi says:

    Insurans basically same jer mane2...tak semestinyer insurans yg same tiap2 thn...kalo nk bertukar ke insurans lain, bwk jer cover note insurans yg lame tu mase nk renew nnt =)

  4. Unknown says:

    nk tye ke,x paham pengiraan kat ats..kenapa (49000x26)/1000?
    26 tu ape..,1000 tu ape?

  5. Unknown says:

    useful info for me... thanks for sharing..

Post a Comment